fbpx
Salha (kiri), Abidah (dua dari kiri) dan Pairah (dua dari kanan) bergambar bersama sijil masing-masing pada Istiadat Konvokesyen ke-27 UPSI di Tanjung Malim semalam.

Redah perjalanan 500km demi PhD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANJUNG MALIM ­– Pengorbanan tiga sahabat dari Singapura menempuh perjalanan hampir 500 kilometer (km) sehala dari Kota Singa ke Tanjung Malim untuk menuntut ilmu berbaloi apabila mereka berjaya meraih Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Ketiga-tiga mereka iaitu Dr. Pairah Satariman, 68, Dr. Salha Mohamed Hussain, 57, dan Dr. Abidah Bibi Kader Asana Marikar, 60, turut membuktikan bahawa umur bukan penghalang untuk memperoleh pencapaian tertinggi dalam bidang akademik.

Pairah, Salha dan Abidah Bibi meraikan kejayaan bersama keluarga dari Singapura.

Tiga wanita itu menerima sijil PhD Pendidikan Bahasa Melayu masing-masing sempena Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini.

Pairah yang merupakan Pegawai Projek Unit Bahasa Melayu di Kementerian Pendidikan Singapura berkata, dia menempuh perjalanan penyelidikan yang panjang dan mencabar sepanjang pengajian di universiti tersebut.

Tesis beliau bertajuk ‘Penilaian Pelaksanaan Kemahiran Interaksi Pertuturan dalam Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Menengah di Singapura menggunakan model CIPP (Contect, Input, Process, Product) untuk menilai keberkesanan kemahiran interaksi pertuturan dalam kurikulum Bahasa Melayu.

Kajian itu bukan sahaja memberi sumbangan besar kepada pembangunan kurikulum bahasa, malah menjadi panduan kepada golongan pendidik dalam memperkukuhkan amalan pe­ngajaran komunikasi lisan di dalam kelas.

“Saya juga mahu kejayaan ini menjadi inspirasi kepada para pendidik dan pelajar di Singapura dan Malaysia,” katanya ketika ditemui semalam.

Salha yang berkhidmat sebagai Pakar Pe­neraju Bahasa Melayu di kementerian sama pula berjaya membangunkan satu model sistematik yang memperkukuh pro­ses pembinaan buku teks Bahasa Melayu agar lebih relevan, efektif dan memenuhi keperluan semasa dunia pendidikan.

Katanya, kajian tersebut di­iktiraf sebagai sumbangan signifikan terhadap inovasi penulisan dan penerbitan bahan pengajaran Bahasa Melayu di Singapura.

Sementara itu, Abidah Bibi yang telah bersara tetapi kembali bertugas dalam bidang pendidikan di Singapura melahirkan rasa syukur kerana beliau berjaya meraih PhD walaupun bergelar warga emas.

“Saya mahu menjadi inspirasi dan membuktikan bahawa usia bukan penghalang kepada seseorang individu untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang aka­demik,” katanya.

Tambahnya, ketabahan, ke­sungguhan dan semangat menjadi pendorong sehingga berjaya ke garisan penamat iaitu menamatkan pengajian.

Beliau membangunkan model pengajaran kemahiran mendengar yang berkesan dan praktikal bagi membantu pelajar bukan penutur jati menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik.
Hasil tersebut diaplikasikan dalam bilik darjah sebenar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN