GOMBAK – Seorang wanita berusia 44 tahun terselamat tanpa kecederaan selepas kereta dipandunya dihempap tiang besi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam kejadian di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Batu Caves, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu berlaku ketika mangsa yang memandu kenderaan jenis Suzuki Swift bergerak dari arah Karak menuju ke Gombak sebelum secara tiba-tiba tiang besi berkenaan tumbang lalu menghempap bahagian keretanya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat insiden tersebut pada pukul 2.40 petang.
“Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kenderaannya mengalami kerosakan.
“Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Noor Farah Hanim Abu Bakar di talian 019-3311552 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-6126 2222. – KOSMO! ONLINE














