JAKARTA – Penduduk di Bandung, wilayah Jawa Barat digemparkan dengan pemandangan langit bertukar warna merah seperti darah, lapor portal berita Lambe Turah.
Kejadian berlaku antara pukul 5.40 petang (waktu tempatan) hingga 6 petang kelmarin.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @hamdan.kusuma7 menunjukkan ramai penunggang motosikal berhenti di tepi lebuh raya untuk merakam gambar langit berwarna merah jingga.
Fenomena langit merah itu boleh dilihat di seluruh bandar berkenaan selama beberapa jam.
Rakaman itu menjadi tular dan sebilangan pengguna media sosial mendakwa, fenomena itu merupakan petanda buruk atau kiamat.
“Ini petanda akhir zaman,” kata seorang netizen.
“Semoga kita diselamatkan dari segala bencana,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














