PETALING JAYA – Tindakan orang ramai beratur panjang di Toysbar, Damansara Jaya, Selangor baru-baru ini bagi mendapatkan set kad Pokemon terbaharu mencuri perhatian pengguna media sosial.
Video yang dikongsikan di Threads oleh @k__amin memaparkan barisan panjang peminat yang beratur demi mendapatkan kad Pokemon terbaharu walaupun kedai dijadualkan dibuka pada pukul 10 pagi keesokan harinya.
“Betul-betul ramai orang beratur. Kedai buka esok pagi tetapi sekarang sudah macam ni. Penangan Charizard (kad Pokemon),” tulisnya di ruangan kapsyen.
Menerusi hantaran lain oleh @eddyfazly di Threads, dia memaklumkan beberapa orang telah mula beratur sejak 7 malam hari sebelumnya untuk menjadi antara yang terawal.
Menurutnya, orang ramai beratur untuk mendapatkan set Pokemon Mega Evolution: Phantasmal Flames yang dijual secara rasmi pada 14 November lalu.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi dari pengguna media sosial yang rata-ratanya turut terkejut dengan situasi tersebut.
“Gila betul edisi kalini. Saya peminat Charizard juga, tidak tahu nak gembira ke kecewa. Tidak mampu nak beratur macam ni,” komen Haikal Hashim.
“Ada juga ibu dengan bayi yang beratur. Keutamaan sesetengah orang sudah agak keterlaluan,” kata Samuel Wang.
“Penat weh beratur tadi lepas tu pula tidak dapat nombor padahal depan aku dua orang saja lagi. Ramai yang balik tadi sebab nombor sudah habis,” komen Bang Mel. – KOSMO! ONLINE















