TELUK INTAN – Seorang pemandu jentera berat mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan kesalahan seksual termasuk merogol, meliwat dan amang seksual fizikal ke atas anak tirinya yang berusia 14 tahun.
Pengakuan bersalah itu dibuat tertuduh berusia 41 tahun selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Gan Peng Kun.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, bapa empat anak itu didakwa merogol mangsa yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin.
Kesalahan dilakukan di sebuah rumah dalam daerah Bagan Datuk pada 5 dan 25 September serta 7 dan 29 Oktober 2025. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan.
Tertuduh turut didakwa atas tiga tuduhan iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii, amang seksual fizikal terhadap mangsa di lokasi dan tarikh yang sama selain memiliki 20 video pornografi kanak-kanak di dalam sebuah telefon bimbit jenama Oppo.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama pada pukul 12.15 tengah hari, 11 November lalu. – KOSMO! ONLINE















