KAJANG – Sepasang tunang disyaki terbabit dalam kes pecah rumah sebelum melarikan dua buah motosikal milik pempengaruh Nanad Bebe di kawasan perumahan berhampiran Bandar Sungai Long, Kajang, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat pertama berhubung kejadian itu pada 16 November 2025 kira-kira pukul 9.03 pagi.
“Bertindak atas maklumat, pada 17 November 2025, kira-kira pukul 10.30 pagi hingga 2.30 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dengan bantuan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah menangkap seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan.
“Lelaki tersebut bekerja swasta manakala wanita berstatus penganggur, masing-masing berusia 21 dan 37 tahun. Mereka disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah dan melarikan dua buah motosikal itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Naazron berkata, polis turut merampas dua buah telefon bimbit bagi membantu siasatan.
“Hasil semakan, kedua-dua suspek mempunyai dua rekod lampau masing-masing membabitkan kes narkotik,” ujarnya.
Tambahnya, suspek lelaki telah direman selama dua hari hingga 19 November 2025, manakala suspek wanita direman selama satu yang berakhir semalam.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek lain yang terlibat serta mengesan barang kes yang berkaitan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Sharulhasram Ramli di talian 017-253 0380 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE















