Pendedahan Perdana Menteri bahawa terdapat kartel besar yang menyeludup masuk dadah ke negara ini sejak sekian lama selain memberitahu bahan terlarang itu kemudiannya dibawa pula keluar melalui Pelabuhan Klang menggunakan kontena ke Australia memang sesuatu yang amat mengecewakan ramai.
Selain kartel dadah, isu penyeludupan manusia juga semakin menjadi-jadi ketika ini. Setiap tahun ada saja berita tentang warga asing yang cuba masuk sama ada melalui jalan laut atau lorong tikus di sempadan.
Kes warga Rohingya yang karam di perairan Thailand berdekatan Langkawi minggu lalu sepatutnya membuka mata banyak pihak. Mereka diseludup seperti barang dagangan oleh sindiket-sindiket yang rakus mengaut keuntungan.
Persoalannya, mengapa kartel-kartel dadah serta sindiket penyeludupan manusia ini dilihat begitu berani menjalankan aktiviti mereka merentas sempadan negara ini?
Apakah sempadan negara tidak ada pihak yang mengawalnya? Apakah kawalan di sempadan kita longgar atau mungkin sempadan kita terlalu panjang sehingga susah untuk dikawal?
Jujurnya, kalau kawalan di sempadan kita cukup ketat, mungkin sindiket atau kartel penyeludupan apa sekali pun tidak akan berani untuk melakukan sebarang kerja kotor di sempadan kita. Tapi bila ada ruang longgar yang terbuka, atau ada pihak di sebelah kita yang terlepas pandang, maka bermaharajalelalah para penyeludup ini.
Jadi rasanya, sudah sampai masanya untuk kita melihat kembali kepada usaha untuk memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan supaya tidak mudah bocor terutamanya terhadap kes-kes penyeludupan manusia serta bahan terlarang.
Sebarang kelonggaran kawalan yang berlaku di sempadan, ia sebenarnya boleh membawa padah yang besar kepada negara. Ini kerana, sindiket penyeludupan manusia atau kartel dadah ini mempunyai 1,001 taktik licik untuk memperdayakan para penjaga sempadan kita untuk mereka lolos ke dalam negara.
Buktinya, ada saja kes-kes tangkapan pendatang tanpa izin serta rampasan dadah besar-besaran yang sudah terlepas masuk ke dalam negara kita. Bagaimana semua ini boleh masuk? Sudah tentu kerana kawalan di sempadan longgar sehingga pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini mudah untuk lolos.
Kalau dadah sudah masuk, ia bukan lagi masalah kecil. Ia merosakkan generasi dan anak bangsa kita, menghidupkan sindiket jenayah dan perlahan-lahan akan menggugat keselamatan negara.
Kalau kartel boleh bermain-main dengan sempadan kita, itu petanda kita sedang menghadapi masalah besar. Jika ia berterusan longgar, jangan terkejut jika negara menjadi transit untuk kegiatan penjenayah antarabangsa di kemudian hari.
Jika kita benar-benar berhasrat untuk memastikan kesalamatan negara sentiasa pada tahap tertinggi, maka kita perlu memperketatkan kawalan di sempadan baik di darat mahupun di laut.
Gerakkan semua aset, radar, dron, kamera pintar, kapal dan pesawat peronda serta lengkapkanlah pasukan kita dengan teknologi terbaik supaya mereka digeruni dan mengelak sempadan daripada dibocori dengan mudah.














