KOTA KINABALU – Nama calon Pakatan Harapan (PH), Abd Halim Sidek Gulam Hassan kekal dalam kertas undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, sekali pun beliau telah mengumumkan untuk menarik diri dan tidak bertanding.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, Abd Halim Sidek telah diisytiharkan sebagai salah seorang calon yang bertanding di Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada Hari Penamaan Calon yang lalu.
”Merujuk kepada Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 menyatakan tiada seorang calon boleh menarik pencalonannya selepas pukul 10.00 pagi pada hari penamaan.
”Oleh demikian, calon PH bagi bahagian Silam kekal di dalam kertas undi bahagian pilihan raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Semalam, media melaporkan Abd Halim Sidek mengumumkan penarikannya daripada bertanding pada PRN Sabah.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Abd Halim berkata keputusan itu dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab selepas pertimbangan mendalam serta perbincangan teliti bersama kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan. – KOSMO! ONLINE















