KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasport antarabangsanya bagi menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan di London.
Bagaimanapun, Hakim Noor Ruwena Noordin menolak permohonan Muhyiddin untuk transit selama enam hari di Dubai dengan alasan tiada keperluan munasabah bagi beliau berhenti di negara itu dalam tempoh yang begitu lama.
“Berdasarkan afidavit sokongan, saya tidak melihat sebarang justifikasi untuk (Muhyiddin) transit selama lima hingga enam hari di Dubai. Bahagian ini sangat ketara, sedangkan transit boleh dilakukan satu atau dua hari sahaja,” katanya dalam prosiding.
Hakim kemudiannya menegur tindakan Muhyiddin yang membuat tempahan penerbangan terlebih dahulu tanpa mendapatkan kebenaran mahkamah dan memintanya memendekkan tempoh transit di Dubai.
“Sebenarnya saya tidak cenderung untuk meluluskan permohonan ini. Kamu tidak boleh mengambil mudah terhadap setiap permohonan yang dibenarkan mahkamah. Kamu perlu mendapatkan kebenaran sebelum membuat tempahan tiket,” katanya.
Menurut afidavit, Muhyiddin dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur ke London pada 15 Disember bagi menghadiri janji temu perubatan di Platinum Medical Centre pada 17 Disember sebagai sebahagian pemeriksaan berkala terhadap penyakit kanser pankreas yang dihidapinya.
Beliau turut merancang meluangkan masa bersama keluarga termasuk cucu-cucunya di Madrid dari 20 Disember hingga 2 Januari sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Transit selama enam hari di Dubai merupakan sebahagian daripada jadual perjalanan itu.
Mahkamah bagaimanapun menggunakan budi bicara untuk membenarkan permohonan pelepasan pasport dengan syarat dokumen itu dipulangkan kepada mahkamah pada atau sebelum 5 Januari.
Sebelum ini, mahkamah turut membenarkan beberapa permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasport secara sementara bagi tujuan keluarga dan perubatan, termasuk menghadiri majlis graduasi cucunya, sesi konsultasi berkaitan kanser pankreas di London, pemeriksaan perubatan di Singapura serta menghadiri majlis pembukaan restoran milik rakannya di Thailand.
Muhyiddin diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat dan Nuralis Mat.
Muhyiddin, 78, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa melibatkan RM232.5 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang RM200 juta.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik parti.
Pada prosiding 7 Oktober lalu, mahkamah dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi Muhyiddin untuk mengugurkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan wang RM200 juta. – KOSMO! ONLINE















