KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma, semalam diteruskan pagi ini dengan pencarian di permukaan air melalui susur sungai sehingga ke kawasan Selangor.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kuala Lumpur berkata, operasi turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) termasuk penggunaan dron bagi mengesan kedudukan mangsa.
“Keadaan cuaca tidak menentu di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur terutamanya hujan di kawasan utara.
“(Ini) menyebabkan paras air meningkat dengan cepat dan arus yang deras menyukarkan operasi penyelamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa berhubung kejadian banjir yang melibatkan mangsa dihanyutkan arus deras, semalam.
“Satu jentera bersama anggota BBP Titiwangsa serta bantuan dari BBP Jalan Hang Tuah digerakkan ke lokasi. Setibanya di lokasi, didapati 12 mangsa terperangkap di bawah jambatan,” ujarnya.
Katanya, pasukan operasi segera menjalankan penyelamatan menggunakan tali dan berjaya membawa keluar 11 mangsa terdiri daripada seorang rakyat Malaysia dan 10 warga asing.
“Seorang lagi mangsa yang identitinya belum dikenal pasti didapati hanyut dibawa arus sebelum anggota tiba. Operasi pencarian turut dijalankan di tebing Sungai Klang,” katanya.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada pukul 11 malam tadi dan diteruskan pada pukul 9.30 pagi ini. – KOSMO! ONLINE














