fbpx
Gambar hiasan.

Lelaki edar kanabis 190 kg dihukum gantung sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki tempatan disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam, atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 190.32 kilogram di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, lapan tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hariz Abdull Malek, dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam kenyataan berkata, mengikut fakta kes, pegawai kastam menahan dan memeriksa kereta Proton Preve dipandu tertuduh sebelum menjumpai 200 bungkusan plastik ketulan mampat disyaki dadah yang disembunyikan di bahagian bonet belakang kira-kira pukul 8.40 pagi pada 9 Ogos 2017.

Taktik digunakan tertuduh adalah dengan menyorokkan dadah di dalam kotak pembesar suara yang dijadikan ruang rahsia (secret compartment).

Susulan itu, tertuduh ditahan manakala kenderaan serta barang kes dirampas untuk siasatan lanjut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya JKDM, Ahmad Nazneen Zulkifli, dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta minimum 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Mahkamah sebelum ini pada 8 Julai 2025 memerintahkan tertuduh membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil, manakala tertuduh adalah satu-satunya saksi pembelaan.

Hakim Evawani Farisyta Mohammad pada 17 November 2025 memutuskan tertuduh bersalah dan mensabitkannya dengan hukuman gantung sampai mati. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN