PETALING JAYA – Akses ke portal berita Kosmo! Online dan beberapa laman sesawang lain di seluruh dunia terganggu pada malam ini susulan masalah teknikal membabitkan syarikat infrastruktur internet global, Cloudflare.
Gangguan itu dikesan sejak pukul 7.55 petang apabila sebahagian pembaca melaporkan sukar memuat naik laman Kosmo! Online, selain menerima mesej ralat atau paparan yang mengambil masa terlalu lama untuk dibuka.
Pada masa sama, laporan antarabangsa memaklumkan sejumlah laman web popular termasuk X serta pelbagai platform lain turut gagal dimuatkan dan hanya memaparkan mesej ralat berkaitan Cloudflare.
Cloudflare dalam satu kenyataan di laman status rasminya mengesahkan sedang menyiasat isu yang menyebabkan ‘ralat 500 secara meluas’ selain gangguan pada papan pemuka (dashboard) dan API syarikat itu sendiri.
“Cloudflare menyedari dan sedang menyiasat isu yang memberi kesan kepada ramai pelanggan: ralat 500 secara meluas, papan pemuka dan API Cloudflare turut gagal.
“Kami sedang meneliti skala penuh kesan ini dan berusaha mengurangkan masalah,” kata syarikat tersebut seperti dilaporkan media antarabangsa.
Susulan gangguan berkenaan, sebahagian pembaca Kosmo! Online kemungkinan tidak dapat mengakses kosmo.com.my langsung, menghadapi paparan mesej ‘internal server error’ atau ralat pelayan, atau mengalami masa muat (loading) yang terlalu lama sebelum laman gagal dibuka.
Cloudflare adalah syarikat pembekal rangkaian global bagi keselamatan dan kelajuan aplikasi laman web.
Syarikat infrastruktur internet ini menyediakan pelbagai teknologi teras untuk mengendalikan trafik web moden, termasuk rangkaian penghantaran kandungan (CDN), perlindungan serangan siber seperti serangan DDoS, dan sistem pengimbangan beban (load balancing) bagi memastikan laman kekal stabil ketika menerima trafik tinggi.
Disebabkan kedudukan Cloudflare yang sangat penting dalam ekosistem internet, sebarang gangguan pada rangkaian syarikat itu boleh mengakibatkan kesan berantai (domino effect) kepada ratusan atau ribuan laman di seluruh dunia dalam satu masa. – KOSMO! ONLINE














