KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski memberi jaminan aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada malam ini bukan ‘hadiah perpisahan’ sekali gus menutup spekulasi mengenai masa depannya ketika ini.
Sebagai rekod, masa depan pengendali dari Australia itu menjadi tanda tanya sejak minggu lalu susulan isu luar padang melibatkan hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak September lepas.
“Ya.. (mengenai kemungkinan dirinya akan membimbing skuad Harimau Malaya pada tahun depan). Secara jujur, spekulasi tersebut sedikit mengejutkan, tetapi dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Mengulas lanjut, Cklamovski mengakui barisan pemain telah memberikan komitmen penuh sejak membimbing pasukan pada awal tahun ini dan sudah tentu sukar untuk melepaskan pengalaman manis tersebut.
Kata Cklamovski, sekarang bukanlah masa untuk bermain dengan emosi sebaliknya pasukan perlu fokus untuk memastikan pasukan dapat menutup tirai tahun ini dengan cemerlang.
“Peningkatan skuad kebangsaan saat ini begitu drastik dan semua pemain ini telah memberi inspirasi untuk saya bekerja lebih keras. Saya suka untuk melatih mereka setiap hari dan kami sedang bina jalinan hubungan yang istimewa.
“Saya sudah berada dalam bola sepak cukup lama dan saya bangga dengan pengalaman serta memori manis yang tercipta ketika ini. Semua emosi ini akan kami semat dalam hati dan saya harap semua orang dapat pamerkan prestasi terbaik di atas padang pada esok (malam ini),” katanya.
Sementara itu, Cklamovksi turut memberi bayangan sedia untuk menurunkan jentera serangan ‘impian’ terdiri daripada Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Luqman Hakim Shamsudin dalam kesebelasan itu.
Skuad Harimau Malaya sepatutnya berada dalam landasan terbaik untuk layak ke Piala Asia 2027 selepas mendahului carta Kumpulan F dengan meraih empat kemenangan bersih.
Namun, hukuman FIFA kepada FAM baru-baru ini menyaksikan status Harimau Malaya ke Piala Asia 2027 menjadi tanda tanya dengan keputusan bakal diputuskan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) nanti.















