PETALING JAYA – Tindakan licik sebuah syarikat jual beli kenderaan mewah dipercayai terlibat dengan rangkaian kartel akhirnya terbongkar selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melancarkan operasi besar-besaran secara serentak di tiga lokasi sekitar Lembah Klang.
LHDN dalam satu kenyataan berkata, serbuan yang dibuat di premis perniagaan, kediaman pengarah syarikat dan sebuah firma juruaudit itu membawa kepada rampasan pelbagai dokumen penting dipercayai digunakan untuk mengaburi transaksi sebenar.
Siasatan awal mendapati syarikat berkenaan gagal melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM70 juta dipercayai hasil jualan kenderaan mewah. Kes disiasat di bawah subseksyen 112(1A) dan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, sektor transaksi bernilai tinggi seperti kenderaan mewah menjadi tumpuan pihaknya kerana potensi ketidakpatuhan cukai yang besar.
Katanya, pelarian cukai jumlah tinggi bukan saja merugikan negara, malah mencetuskan ketidakadilan dalam sistem percukaian.
LHDN berkata, tindakan pendakwaan sedang dan akan diambil terhadap pelbagai kes lain termasuk perlombongan emas, ‘scam’, penyalahgunaan status kebajikan, hasil perjudian, aktiviti haram dan perniagaan warga asing yang tidak melaporkan pendapatan.
Agensi itu menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengelak cukai dan akan terus memperketatkan tindakan penguatkuasaan bagi mengelak ketirisan hasil negara.
Sebarang pertanyaan boleh dibuat melalui Hasil Contact Centre (HCC) 03-8911 1000, Live Chat HASiL atau Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN.-KOSMO! ONLINE














