JOHOR BAHRU – Johor berada di tangga teratas dengan mencatatkan pelaburan komited sebanyak RM91.1 billion sekali gus berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran nilai pelaburan RM100 bilion bagi tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, Johor mengatasi Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang bagi jumlah pelaburan komited yang diumumkan oleh pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.
“Kerajaan negeri Johor sentiasa konsisten dalam usaha memperkukuh jaringan promosi pelaburan antarabangsa bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, selaras dengan aspirasi Johor sebagai pintu masuk pelaburan serantau melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Dalam hal ini, Johor kini berada pada momentum pertumbuhan ekonomi yang paling kukuh dalam sejarah terkini. Dengan komitmen pelaburan mencecah RM56 bilion sehingga suku kedua 2025.
“Pada pagi ini satu berita yang cukup baik telah diumumkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia di mana sehingga suku ke-tiga 2025, Johor telah mencatatkan jumlah pelaburan komited sebanyak RM91.1 billion, disusuli dengan Selangor (RM51.9 billion), Wilayah Persekutuan (RM45.9 bilion), Pulau Pinang (RM23.7 bilion) dan kami yakin Johor berada di landasan untuk mencapai sasaran RM100 bilion bagi tahun ini,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Pekan Nanas (BN), Tan Eng Meng mengenai perancangan promosi pelaburan antarabangsa dilakukan Johor selepas misi ke UK dan AS pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke 15 di Kota Iskandar di sini hari ini.
Ting Han (BN-Paloh) berkata, nilai itu mengatasi gabungan pelaburan komited dua tahun sebelum ini pada 2023 sebanyak RM43 bilion dan 2024 sebanyak RM48.5 bilion. – KOSMO! ONLINE















