fbpx
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Pasukan Penyelamat Di Air sedang melakukan persiapan bagi operasi SAR mencari mangsa hanyut kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma petang hari ini.

Hanyut Sungai Klang: ‘Sepatutnya semalam hari terakhir abang bertugas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Semalam sepatutnya menjadi hari terakhir abang saya bertugas di tapak itu,” demikian luah adik kepada lelaki yang hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma petang semalam.

Menurut K. Suren, 32, abangnya bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan dan telah ditempatkan di kawasan tersebut hampir 70 hari.

Beliau memaklumkan, abangnya itu difahamkan sudah biasa dengan keadaan sungai, namun tidak manjangka perkara begini berlaku terhadap abangnya itu. “Dia sudah biasa dengan keadaan sungai itu, sudah tahu paras air bila hujan turun.

“Tapi kejadian berlaku sangat cepat… memang tak sempat (berbuat) apa-apa,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

Suren berkata, kali terakhir beliau berhubung dengan abangnya adalah pada pukul 3 petang semalam, ketika mangsa memaklumkan hujan mula turun di kawasan kerja.

Jelasnya, dia mengetahui berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.30 malam selepas dimaklumkan oleh bapanya.

“Dia pandai berenang, badan pun besar dan kuat. Dia yang ajar saya berenang.

“Tetapi arus di sini terlalu kuat… mungkin itu yang membuat dia tak mampu bertahan,” katanya sebak.

Menurutnya, abangnya itu menetap di Rawang itu mempunyai seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia enam tahun.

Terdahulu media melaporkan, operasi SAR yang ditangguhkan pada pukul 11 malam tadi disambung semula pada pukul 9.30 pagi ini dengan tumpuan pencarian di permukaan Sungai Klang sehingga Selangor.

Semalam media melaporkan, mangsa dihanyutkan arus deras ketika cuba mengalihkan kenderaan yang diletakkan di bawah jambatan selepas menyedari kepala air datang secara tiba-tiba.

Ketika insiden berlaku, seramai 12 individu termasuk pekerja pembinaan dan pemancing berada di bawah jambatan dalam kejadian itu 11 daripada mereka berjaya diselamatkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN