PETALING JAYA – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa akhirnya mendedahkan secara terperinci alasan menolak rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain naturalisasi selepas dihukum isu pemalsuan dokumen.
Jawatankuasa Rayuan FIFA yang dikeluarkan pada 3 November telah mengekalkan hukuman berat yang dikenakan terhadap badan induk bola sepak negara dan tujuh pemain terbabit yang memalsukan dokumen bagi menyarung jersi Harimau Malaya.
Menurut alasan bertulis setebal 63 muka surat yang dikeluarkan oleh FIFA hari ini, para pemain menandatangani dokumen naturalisasi tanpa membaca kandungan terlebih dahulu selain tidak mengambil sebarang langkah untuk mengesahkan mereka ada keturunan Malaysia.
Selain itu, FIFA juga mahu dalang sebenar yang memalsukan dokumen tujuh pemain berkenaan didedahkan oleh FAM.
“Jawatankuasa mengarahkan Sekretariat untuk mengambil langkah segera bagi melancarkan satu siasatan formal terhadap operasi dalaman FAM.
“Siasatan ini bertujuan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab memalsukan dokumen; menilai kecukupan dan keberkesanan mekanisme pematuhan serta tadbir urus dalaman FAM; serta menentukan sama ada tindakan tatatertib tambahan perlu dikenakan terhadap pegawai-pegawai FAM.
“Sebagai fokus awal, siasatan tersebut mesti meneliti peranan Setiausaha Agung FAM dan dua ejen berlesen FIFA yang dinamakan dalam prosiding ini; Encik Nicolás Puppo dan Encik Frederico Moraes. Penglibatan mereka menimbulkan keraguan serius yang wajar disiasat secara menyeluruh,” kata FIFA.
Sebagai rekod, FAM dijangka meneruskan proses rayuan terhadap kontroversi terbabit dengan mengheret FIFA ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Sebagai rekod, FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) oleh FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib badan induk itu susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Tujuh pemain terbabit adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dengan mereka digantung daripada terlibat dalam bola sepak selama 12 bulan. – KOSMO! ONLINE















