PRETORIA – Organisasi misteri yang didakwa menerbangkan beratus-ratus rakyat Palestin keluar dari Semenanjung Gaza merupakan sebuah firma perundingan Estonia, lapor laman berita The New Arab semalam.
Siasatan dilakukan apabila lebih 150 rakyat Palestin terkandas di Afrika Selatan selepas mereka berlepas dari Israel tanpa dokumen perjalanan sah atau tiket kapal terbang.
Para penumpang yang dilaporkan tidak mengetahui destinasi mereka, ditahan di dalam pesawat lebih 12 jam sebelum diberikan visa 90 hari selepas campur tangan badan bukan kerajaan(NGO) Afrika Selatan, Gift of the Givers.
Ia adalah pesawat kedua tiba di Afrika Selatan selepas 176 rakyat Palestin dihantar ke Johannesburg, akhir Oktober lalu.
Penerbangan itu dianjurkan oleh sebuah syarikat menamakan dirinya Al-Majd Europe, demikian menurut siasatan akhbar Haaretz.
Syarikat rahsia itu didakwa telah menerbangkan ratusan rakyat Palestin Gaza keluar dari Lapangan Terbang Ramon di Israel sejak Mei lalu.
Ia menggalakkan rakyat Palestin untuk memberikan butiran peribadi mereka dan membayar yuran antara AS$1,500(RM6,251) hingga AS$2,700(RM11,252) untuk meninggalkan Gaza yang musnah, sebelum diterbangkan ke destinasi secara rawak.
Siasatan Haaretz mengesan kaitan syarikat itu kepada warga Israel-Estonia bernama Tomer Janad Lind.
Lind dikatakan bekerjasama dengan Biro Penghijrahan Sukarela di bawah Kementerian Pertahanan Israel iaitu jabatan yang ditubuhkan awal tahun ini untuk memudahkan pengusiran rakyat Palestin dari Gaza.
The New Arab telah menghubungi syarikat itu dan kedutaan Estonia untuk mendapatkan komen.
Versi lama laman web Al-Majd menampilkan logo sebuah syarikat Estonia bernama Talent Globus, yang dinamakan sebagai salah satu penganjur penghijrahan sukarela rakyat Palestin dari Gaza.
Talent Globus yang menggelar dirinya sebagai syarikat pengambilan pekerja dan perundingan, diasaskan oleh Lind tahun lalu.
Lind dilahirkan pada tahun 1989 dan mempunyai kewarganegaraan Estonia serta Israel, demikian menurut dokumen syarikat.
Apabila dihubungi untuk mendapatkan komen oleh Haaretz, Lind tidak menafikan penglibatan dalam syarikat itu tetapi enggan mendedahkan siapa lagi yang berada di belakang usaha tersebut.
COGAT iaitu unit tentera Israel yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran awam wilayah Palestin yang dijajah memberitahu akhbar itu bahawa pemindahan rakyat Palestin diselaraskan dengan negara-negara tuan rumah, namun kadang kala dilakukan oleh organisasi pihak ketiga.
Afrika Selatan telah membuka siasatan terhadap syarikat itu berikutan penerbangan minggu lalu. – AGENSI















