JEMPOL – Seorang buruh durjana ditangkap polis susulan mencabul adik tirinya dalam kejadian di tepi jalan besar Serting Tengah, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, buruh berusia pertengahan 40an itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjemput mangsa dari sekolah.
“Berdasarkan siasatan awal, ketika kejadian, mangsa berusia 15 tahun dijemput suspek pulang ke rumah dari sekolah dengan menaiki kereta jenis Honda Stream. Secara tiba-tiba, suspek telah memegang bahagian dada mangsa.
“Suspek juga dikatakan bertindak lebih berani dengan menyentuh bahagian tubuh lain mangsa secara paksa. Mangsa yang trauma dengan kejadian tersebut telah menceritakan kepada keluarga angkat.
“Keluarga angkat seterusnya mengarahkan mangsa untuk segera membuat laporan polis dan suspek ditangkap sejurus laporan dibuat,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini, hari ini.
Ujar Norhisham lagi, suspek kini telah ditahan reman selama enam hari bermula hari ini hingga 23 November dan polis telah merampas kenderaan yang digunakan ketika kejadian.
Menurutnya, turut dirampas telefon bimbit beserta dua keping simkad dan kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – KOSMO! ONLINE














