ALOR SETAR – Jenazah 29 etnik Rohingya yang maut dalam insiden bot karam dan hanyut di perairan Langkawi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lama Kampung Tualang, Pokok Sena.
Setiausaha Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Datuk Dr. Abd. Ghani Zainuddin berkata, pihaknya akan menguruskan pengebumian kesemua jenazah tersebut sekiranya tiada pihak atau waris yang menuntut jenazah mereka.
“Setakat ini belum ada tarikh, namun insya-Allah pengebumian akan dilakukan di lokasi itu (Kampung Tualang) setelah selesai semua urusan daripada pihak berwajib. Perkara ini diputuskan dalam satu mesyuarat bersama semua pihak terlibat semalam.
“Kita akan mengadakan satu lagi mesyuarat penyelarasan bersama semua pihak terlibat sebelum pengebumian mangsa dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, prosedur pengebumian akan dijalankan seperti biasa seperti mandi, kafan dan solat jenazah sebelum dikebumikan pada hari ditetapkan itu.
Tragedi bot karam membawa kira-kira 70 etnik Rohingya yang dipercayai dalam perjalanan meloloskan diri ke negara ini dekat perairan Langkawi itu mengorbankan 29 mangsa sementara 14 lagi terselamat.
Kira-kira 10 mayat ditemukan di perairan Thailand oleh pihak berkuasa negara jiran itu.
Tanah Perkuburan Islam Lama Kampung Tualang itu sehingga kini menempatkan 106 jenazah etnik Rohingya yang juga menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang ditemukan di kem transit berdekatan Wang Kelian, Perlis pada 2015. – KOSMO! ONLINE















