IPOH – Seorang bekas penolong jurutera didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memperdaya jawatankuasa penilaian tender membabitkan projek bernilai RM4.3 juta, sembilan tahun lalu.
Tertuduh, Zamhuri Ahmad Shatiry, 51, turut berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Hukuman itu diputuskan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Lelaki itu didakwa memperdaya jawatankuasa penilaian tender ‘installation and commissioning of overhead 33kV 3x150mm2 Ariel Bundle Cable (ABC)’ dari Kampar ke PPU Gopeng Industri yang mana lelaki itu telah menyembunyikan kepentingannya dalam Syarikat Gua Besar Sdn. Bhd.
Tertuduh sebagai setiausaha syarikat itu menyediakan ‘bill of quantities’ bagi pihak syarikat sehingga dianugerahkan tender bernilai RM4,337,542. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Afiq Mohd. Adnan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, dalam rayuannya, bapa empat anak yang turut menjaga ibu itu memaklumkan dia sudah menyesal dan memohon hukuman yang dijatuhkan mengikut budi bicara mahkamah.
Menurut fakta kes, tertuduh membantu syarikat menyediakan harga bagi ‘projek ABC’ bernilai RM4,337,542 sebelum pihak syarikat mengemukakan tender projek melalui sistem.
Tertuduh hadir semasa peringkat penilaian tender pada 1 Ogos 2016 selaku setiausaha, namun tidak membuat sebarang pengisytiharan dan memaklumkan kepada pengerusi mesyuarat dia membantu menyediakan BQ bagi pihak syarikat. – KOSMO! ONLINE














