KUALA PILAH – Sepasang suami isteri warga emas berusia lingkungan 70an di Kampung Ulu Bendul, di sini, dipindahkan oleh pasukan penyelamat apabila air dari bukit melimpah menyebabkan banjir kilat di kawasan berkenaan lewat petang tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kuala Pilah, Lt. (PA) Azlina binti Ahmad Fuazi berkata, pihaknya dengan kerjasama pasukan polis serta bomba telah membantu memindahkan pasangan warga emas tersebut susulan air sudah mulai naik memenuhi pekarangan rumah.
“Kawasan rumah warga emas tersebut bukan merupakan kawasan hotspot banjir dan kejadian ini dipercayai berpunca dari air atas bukit serta masalah perparitan. Mangsa menyatakan air mulai naik sekitar pukul 7 malam.
“Mangsa telah dipindahkan ke rumah mereka yang lain dan buat masa ini, kita akan terus memantau situasi banjir kilat berikutan cuaca masih hujan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Sementara itu, tular beberapa video dari orang awam memaparkan lokasi jalan utama Kuala Pilah-Seremban di Kampung Ulu Bendul dinaiki air sehingga mengusarkan mereka untuk melalui jalan tersebut. – KOSMO! ONLINE














