PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke tiga negara Afrika hari ini dalam rangka lawatan rasmi bagi mengukuhkan hubungan dua hala, selain membuka lebih banyak ruang pelaburan dan kerjasama ekonomi untuk Malaysia.
Anwar memulakan lawatan ke Addis Ababa, Ethiopia, bagi mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Abiy Ahmed Ali. Beliau turut dijadualkan bertemu pemimpin industri, komuniti perniagaan dan pemimpin-pemimpin Islam di negara itu.
Menerusi kenyataan di Facebook, Anwar akan ke Johannesburg, Afrika Selatan untuk mewakili Malaysia ke Persidangan G20, selain mengadakan pertemuan dengan Presiden Cyril Ramaphosa.
Perdana Menteri kemudian dijadualkan ke Nairobi, Kenya bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden William Ruto dalam usaha merapatkan hubungan dua hala, meneroka peluang baharu serta mengadakan sesi ramah mesra dengan pemimpin-pemimpin Islam setempat.
Menurut Anwar, Malaysia akan terus mengangkat suara dan kepentingan negara di pentas antarabangsa, selain memperkukuh amalan multilateralisme, memperluas peluang ekonomi dan meningkatkan hubungan diplomatik.
Beliau turut memohon doa rakyat agar urusan beliau dan delegasi Malaysia dipermudahkan serta membawa pulangan terbaik kepada negara. – KOSMO! ONLINE.















