fbpx
Dua tertuduh yang ditahan kerana mengintip kawasan larangan Mindef.

AGC masih pertimbang representasi kes dua lelaki China ambil gambar Mindef

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) masih mempertimbangkan representasi dua lelaki warga China atas dua pertuduhan mengambil gambar dari udara menggunakan dron di kawasan larangan Kementerian Pertahanan (Mindef).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin pada sebutan semula kes di hadapan Hakim Suhaila Haron.

Menurut Nor Aisyah, AGC menerima representasi tersebut daripada pihak pembelaan mewakili Li Luorong, 27, dan Chen Junhao, 20, pada 22 Oktober lalu.

“Ini representasi kali pertama dan ia masih dalam pertimbangan AGC. Pihak kami mohon tarikh sebutan untuk maklumkan kepada mahkamah mengenai jawapan kepada representasi tersebut serta serahan dokumen tambahan,” kata Nor Aisyah.

Semasa prosiding, peguam Ooi Hong Ming yang mewakili kedua-dua tertuduh turut mengesahkan mengenai representasi tersebut.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Suhaila kemudian menetapkan 7 Januari depan bagi pendakwaan memaklumkan mengenai status representasi tersebut.

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan 27 hingga 30 April serta 4 dan 6 Jun 2026 sebagai tarikh perbicaraan.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama dengan niat mendapatkan maklumat rasmi bagi maksud yang memudaratkan keselamatan negara iaitu mengambil gambar pandangan atas menggunakan dron jenis DJI Mavic 3 Enterprise di kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan, tanpa kebenaran.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di padang bola B MINDEF, Jalan Padang Tembak di sini pada 11.50 pagi, 6 Ogos lepas yang didakwa mengikut Seksyen 3(a) Akta Rahsia Rasmi 1972 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa mengambil gambar dari udara menggunakan dron jenis sama dengan maksud melakukan kerja ukur atau pemeruman tanpa kebenaran pihak berkuasa pada lokasi, tarikh dan masa yang sama, mengikut Seksyen 4(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN