PETALING JAYA – Seburuk apa pun, darah daging tetap darah. Itu hakikat pegangan pelakon Indonesia Aditya Zoni saat berdepan pandangan umum berhubung kesalahan abangnya, Ammar Zoni juga pelakon yang ini dihukum penjara akibat tiga kes dadah.
Buat Aditya, yang bersalah sedang menerima balasan undang-undang namun hukuman si abang tidak memberi kesan buruk terhadap diri, keluaega dan kerjaya seninya.
“Walau sudah banyak sekali yang berlaku dalam keluarga saya, alhamdulillah kami semua adik-beradik lelaki tetap semangat untuk terus bangkit,” ujarnya.
Sebagai adik, bintang filem Zerre: Pendekar Ufuk Timur itu juga tetap akan memberi sokongan kepada abang sulungnya walaupun didakwa melakukan kesalahan mengedarkan dadah.
“Kami selalu menyokong Ammar dan walau apa terjadi, kita harus saling menyokong saudara kita sendiri.
“Selalu saya katakan pada media di Indonesia, apabila kita terbabit dalam menggunakan bahan terlarang seperti itu, di negara mana pun, kita perlu menjalani rehabilitasi.
“Jadi kesalahan menggunakannya juga perlu dihukum atau dipenjarakan. Salah tetap salah dan perlu juga diubati,” katanya sambil memaklumkan Ammar dalam keadaan baik sepanjang dalam tahanan.
Aditya atau nama lengkapnya Muhammad Aditya Warman, 25, tidak mengetahui tempoh sebenar penahanan abangnya memandangkan lelaki itu menjalani hukuman penjara di Pulau Nusakambangan.
“Alhamdulillah abang Ammar sihat saja. Doakanlah semoga ada berita baik buatnya.
“Saya pun sudah lama tidak bertemu dengannya, kali terakhir sekitar dua bulan yang lalu sebelum dia dipindahkan (ke penjara berbeza),” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis tayangan filem Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai di TGV One Utama, di sini, semalam.
Sebelum ini, Ammar Zoni sekali lagi kantoi kerana disyaki terbabit dalam kegiatan menjual dadah ketika berada dalam tahanan.
Ammar kini sedang menjalani hukuman penjara di Pulau Nusakambangan yang merupakan pusat tahanan yang dikawal ketat kerana melibatkan kes berisiko tinggi.
Dia dipindahkan ke penjara berkenaan pada awal Oktober lalu selepas didakwa melakukan kesalahan mengedarkan dadah ketika berada di Pusat Tahanan Kelas 1 Jakarta Pusat.
Difahamkan, pemilik nama lengkap Muhammad Ammar Akbar, 32, itu boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen undang-undang narkotik negera berkenaan yang membawa hukuman mati, penjara seumur hidup, atau sekurang-kurangnya 20 tahun penjara sekiranya disabitkan kesalahan. – KOSMO! ONLINE















