KUALA LUMPUR – Polis sedang melakukan siasatan semula terhadap kes kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman pada Disember 2013.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 69 saksi telah memberi keterangan sebagai sebahagian daripada siasatan semula tersebut.
Menurut beliau, siasatan semula itu dilancarkan bagi memastikan ketelusan penuh berhubung kes berkenaan.
Kata beliau, ia juga bertujuan memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard serta menangani kebimbangan keluarga mangsa dan orang awam.
“Siasatan semula ini secara profesional, bebas dan mematuhi undang-undang sepenuhnya,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung status siasatan semula kes tersebut.
Wan Ahmad Faris yang merupakan pelajar Tingkatan Empat ditemui tergantung di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kelantan.
Hasil bedah siasat oleh pakar forensik mengesahkan kes itu sebagai kematian mengejut yang tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.
Mahkamah Koroner pada Jun 2016 namun memutuskan kematian Wan Ahmad Faris disebabkan oleh tindakan individu yang tidak dikenal pasti.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, setiap langkah yang diambil dalam siasatan kes itu bagi memastikan keadilan ditegakkan.
Tambah beliau, ia juga bertujuan memastikan hak keluarga mangsa dihormati dan keyakinan awam terhadap penguatkuasaan terus undang-undang terpelihara. – KOSMO! ONLINE














