TBILISI – Sepanyol berjaya memecahkan rekod mereka sendiri selepas melakar 30 perlawanan antarabangsa tanpa tewas susulan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Georgia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, awal pagi semalam.
Prestasi tersebut menyaksikan skuad La Roja yang dipimpin oleh Luis De La Fuente berjaya mengatasi rekod 29 perlawanan tanpa tewas yang dicatatkan oleh pasukan kebangsaan ketika dibimbing oleh Vicente del Bosque pada 2010 hingga 2013.
Lebih menarik, Sepanyol berjaya menang 25 perlawanan dan lima keputusan seri selain menjaringkan 81 gol dengan kekalahan terakhir ketika menentang Scotland pada Mac 2023.
De La Fuente mengakui enggan mendabik dada dengan prestasi semasa sebaliknya mahu pasukan kekal fokus dalam misi meraih slot automatik ke pentas Piala Dunia 2026.
“Kita berjaya menewaskan Georgia dengan keputusan yang besar tetapi kita tidak wajar untuk berbangga dan perlu menghormati mereka Apa yang penting, kita dapat kekalkan momentum pada aksi terakhir kelayakan nanti.
“Saya turut berharap rekod yang kita catatkan ini dapat menaikkan lagi motivasi pasukan untuk terus melakar kejayaan dan mengukir sejarah gemilang pada kejohanan akan datang,” katanya.
Skuad La Roja berpeluang untuk mengesahkan slot ke Piala Dunia 2026 ketika menentang Turkiye di laman sendiri pada awal pagi Rabu nanti.
Kedua-dua pasukan kini dibezakan dengan tiga mata dan Turkiye perlu meraih jaringan sekurang-kurangnya 7-0 untuk memintas kedudukan Sepanyol yang mendahului carta ketika ini. – AGENSI















