RABAT, Maghribi – Pengendali Nigeria, Eric Chelle mendakwa Congo menggunakan ‘ilmu hitam’ selepas meranapkan impian pasukannya untuk beraksi pada pentas Piala Dunia 2026 apabila tewas menerusi penentuan penalti 3-4, awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 dengan keputusan kekal hingga 120 minit perlawanan sebelum penjaga gol gantian Congo, Timothy Fayulu muncul wira apabila menyelamatkan penalti yang diambil oleh Super Eagles.
Chelle yang berang dengan keputusan itu cuba meluahkan rasa tidak puas hati apabila ‘bertikam lidah’ dengan barisan kejurulatihan Congo yang diketuai oleh Sebastian Desabre.
Mengulas mengenai insiden tersebut, Chelle mendakwa pasukan lawan telah melakukan ‘voodoo’ sehingga menjejaskan mentaliti pasukannya.
“Saya rasa pasukan lawan ada mengamalkan ilmu hitam. Kita boleh lihat secara jelas terutama ketika penentuan sepakan penalti yang mana mereka ada lakukan ritual tersebut,” katanya.
Keputusan tersebut menyaksikan pasukan Congo yang menduduki ranking ke-60 dunia meneruskan ‘kisah dongeng’ dalam misi layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1974.
Congo bakal diundi dalam saingan playoff antara zon melibatkan negara seperti Bolivia dan New Caledonia, manakala tiga lagi slot bakal diisi daripada negara benua Asia dan dua pasukan zon Amerika Tengah.
Ini adalah kali kedua berturut-turut Nigeria gagal layak ke Piala Dunia selepas terkandas pada edisi 2022. – AGENSI















