MILAN – Pengendali Itali, Gennaro Gattuso mengakui pasukannya perlu belajar daripada kesilapan selepas gagal meraih slot automatik ke Piala Dunia 2026 susulan tewas 1-4 kepada Norway di Stadium San Siro, awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, skuad The Azzurri yang terdesak untuk memintas kedudukan Norway selaku pendahulu carta Kumpulan G gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan sekali gus terpaksa beraksi di peringkat playoff zon Eropah tahun depan.
Kata Gattuso, prestasi tidak konsisten yang diharungi oleh pasukan Itali sejak beberapa tahun lepas sangat merisaukan dan apa yang boleh dilakukan ketika ini hanyalah memohon maaf kepada peminat.
“Saya bercakap bohong jika tidak risau dengan prestasi pasukan. Kita cuba melakukan perubahan taktikal untuk mengatasi Norway, tetapi tidak berjaya terutama aspek penyudah yang tumpul.
“Justeru, saya memohon maaf kepada penyokong dan mengambil tanggungjawab penuh disebabkan kegagalan ini. Saya harap pemain dapat bangkit dengan memiliki mentaliti juara pada saingan play-off akan datang,” katanya. – AGENSI















