SEBERANG PERAI – Lapan individu termasuk dua warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 247.7 kilogram (kg), awal bulan ini.
Tertuduh ialah Muhammad Nur Nor Hisham, 30, Mohamad Hafiz Mohd Zaini, 24, Mohamad Amirul Fazrin Md. Kamil, 31, Mohamad Faris Irzain Bidin, 20, Syazriel Aiman Shah Ceronnizam, 20, dan Muhammad Faris ‘Arimi Suzi, 26.
Tertuduh lain ialah warga United Kingdom (UK), Naveed Hussain, 37, dan warga Thailand, Miss Nursamira Hayeemaha, 37. Kesemua mereka mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar kanabis seberat 247.7kg di Lorong Camelia 5, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah pada pukul 12.30 tengah malam, 5 November lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli tidak menawarkan jaminan, namun peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Mohamad Faris, Syazriel Aiman, Muhammad Faris Arimi dan Miss Nursamira memohon tarikh laporan kimia disegerakan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Disember ini. – KOSMO! ONLINE















