KUALA LUMPUR – Nama tidak disebut ketika isteri, Sweet Qismina menerima anugerah, pelakon Adam Lee mengakui tidak terasa hati, sebaliknya memahami situasi suri hatinya yang gugup di pentas.
Ujar Adam atau nama sebenarnya Muhamad Arif Adam Mohamed Fadlee, 31, perasaan gemuruh itu sesuatu yang biasa bagi mereka di dunia hiburan malah tidak sepatutnya dijadikan isu.
“Wallahi, saya tak terasa sebab saya dah tahu. Masa mula-mula tengok video kemenangan, nampak dia sangat gugup.
“Lagi pula dia tidak menjangkakan untuk menang, jadi tentulah ucapannya juga kurang tersusun dan seperti tidak bersedia.
“Sebagai anak seni, saya sangat faham benda itu dan tidak perlu ada isu pun patutnya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah pelakon filem Babah itu, pengalaman memenangi anugerah kategori terbaik berbeza dengan popular, terutama bagi mereka yang baru pertama kali berada di pentas besar.
“Saya memang sangat faham lah, macam dia menang Festival Filem Malaysia baru-baru ini, dia cakap memang gementar.
“Saya pernah berada di pentas itu, walaupun hanya sekali, suara saya pernah terkucil tau, punyalah gugup. Jadi saya faham sangat perasaan tersebut.
“Itu saya penyampai sahaja, bayangkan Sweet yang memang diumumkan menang. Tuhan saja tahu perasaan itu,” ujarnya pada majlis HOHO Hype Up Anugerah Bintang Popular ke -37 (ABP37), di sini, semalam.
Paling penting kata Adam, penghargaan seorang suami bukan terletak pada disebut namanya tetapi sentiasa menyokong apa jua yang dilakukan pasangan.
“Sebenarnya pada malam itu, kalau ikut bahasa orang putih, dia kata backbone. Tulang belakang tu kalau difahamkan sebenarnya merujuk kepada saya lah.
“Rakyat Malaysia mungkin tak faham, tapi saya faham,” luahnya.
Kelmarin, Sweet terus memahat satu lagi kejayaan apabila diumumkan sebagai pemilik trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik AIFFA2025.
Dia menewaskan Hong Dao dari Vietnam, Imelda Budiman (Indonesia), Zulfa Maharani (Indonesia) dan Katrina Halili (Filipina) untuk kategori tersebut.
Sebelum ini, Sweet juga dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM34 menerusi filem sama. – KOSMO! ONLINE















