GOMBAK – Banjir kilat melanda Taman Samudera berikutan hujan lebat yang turun dalam tempoh singkat di sini, petang ini.
Menurut perkongsian di aplikasi Facebook Hisham Live Channel, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5 petang tadi.
“Banjir kilat di Taman Samudera, Batu Caves, Selangor,” katanya dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di 11 buah negeri sehingga pukul 6 petang ini.
Menurut MetMalaysia, kawasan yang terjejas adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak, Sabah serta Labuan.
Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di seluruh Perlis, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan. – KOSMO! ONLINE














