PETALING JAYA – Sempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhannya, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menganjurkan Malakoff Amazing Hunt 2025 – 50 Years of Impact: Energising a Sustainable Future di Taman Botani Kuala Lumpur, kelmarin.
Memasuki tahun ketiga penganjurannya, acara ini terus memperlihatkan kesungguhan Malakoff dalam memperkasa agenda kelestarian serta memupuk kesedaran masyarakat terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin berkata, penganjuran itu bukan sahaja meraikan ulang tahun syarikat, tetapi menjadi wadah memperkukuh hubungan dengan pihak berkepentingan.
“Malakoff Amazing Hunt 2025 mencerminkan perjalanan kelestarian kami serta menegaskan pentingnya amalan hidup lestari selaras dengan aspirasi ‘Enhancing Life, Enriching Communities’.
“Melalui penglibatan rakan media dan komuniti digital, mesej hijau ini dapat diperluaskan kepada masyarakat secara lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan.
Acara tersebut menghimpunkan 64 peserta daripada 16 pasukan merangkumi agensi kerajaan, syarikat korporat, rakan media, pempengaruh serta komuniti media sosial.
Penganjuran kali ini menekankan gaya hidup lestari melalui cabaran interaktif seperti aktiviti kitar semula kreatif dan penanaman hijau, semuanya dijalankan sepenuhnya dengan berjalan kaki bagi mengurangkan jejak karbon.
Majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh Ketua Jabatan Sumber Manusia Malakoff, Hairuzzaman Sagi Ketua Pegawai Operasi Alam Flora, Mohamad Muhazni Mukhtar.
Peserta kemudian menjelajahi beberapa hentian yang direka untuk menonjolkan pencapaian kelestarian Malakoff sepanjang lima dekad, di samping memberi kesedaran praktikal tentang amalan hijau yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Dalam acara tersebut, Pasukan The Goldfinger daripada Bernama dinobatkan sebagai juara kategori Media Arus Perdana dan Pempengaruh, diikuti Bossbaby (New Straits Times) dan Inderaloka (TV3).
Bagi kategori Pihak Berkepentingan, Pasukan JKAS (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) muncul juara, manakala PPJ2 dan PPJ1 dari Perbadanan Putrajaya meraih tempat kedua dan ketiga.
Majlis penyampaian hadiah turut menyaksikan penyampaian replika cek dengan jumlah keseluruhan RM13,600.
Malakoff menzahirkan penghargaan kepada semua peserta dan berharap semangat kelestarian yang dipupuk melalui acara tersebut terus menggerakkan tindakan kolektif dalam usaha mencapai sasaran sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050. – KOSMO! ONLINE















