fbpx
Mohamad Yusrid (kanan) semasa tiba untuk didakwa atas pertuduhan melakukan penyambungan paip air tanpa kebenaran AKSB di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

Tauke kilang ais curi air AKSB didenda RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang pemilik kilang ais didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan penyambungan paip air tanpa kebenaran Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini, tujuh tahun lalu.

Hukuman ke atas Mohamad Yusrid Mohd. Yusof, 33, selaku orang kena saman (OKS) diputuskan selepas lelaki itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, OKS sebagai penghuni di tapak kilang melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dengan membuat sambungan ke paip air tanpa kebenaran pemegang lesen, AKSB. Kesalahan itu dilakukan di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa pada 7 Jun 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Suhaidariah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut Suhaidariah, OKS melakukan penyambungan haram itu selama 17 bulan sehingga menyebabkan AKSB menanggung kerugian lebih RM41,000. Mahkamah menetapkan denda RM50,000 atau penjara 12 bulan jika gagal bayar. OKS membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI