KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan bakal jemaah haji hanya layak menerima surat tawaran sekiranya mempunyai simpanan minimum RM15,000 dalam akaun masing-masing.
Ketua Jabatan Haji TH, Mohd. Hisham Harun berkata, setakat ini lebih 26,000 surat tawaran telah dikeluarkan daripada kuota keseluruhan 31,600 jemaah Malaysia bagi musim Haji 1447H/2026.
“Surat tawaran ini dikeluarkan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan, kesihatan dan persediaan institusi bakal jemaah haji. Mereka yang belum mencapai jumlah itu masih berpeluang meningkatkan simpanan untuk menerima tawaran sehingga April 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis PraPelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan ke-4 (KHUP 4) di sini, hari ini.
Menurut beliau, TH turut membuka proses rayuan bagi memastikan golongan tertentu diberi keutamaan. Antara yang disenaraikan ialah jemaah haji mahram, pengiring berusia 75 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, walaupun terdapat permohonan kuota tambahan sebanyak 10,000 jemaah dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar sebelum ini, kuota rasmi kekal sebanyak 31,600 orang.
Keputusan tersebut dibuat pihak Arab Saudi dengan mengambil kira faktor keselamatan dan keselesaan jemaah.
“Walaupun ada permintaan tambahan, kuota tidak ditambah untuk memastikan pengurusan haji berjalan lancar seperti tahun sebelumnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














