SEBERANG PERAI – Tindakan sekumpulan pelesit rempit yang tular melakukan aksi ‘Superman’ di Jambatan Kedua Pulau Pinang sudah pun diberkas dalam satu operasi di Kilometer 3.8, menghala ke Batu Kawasan di sini, malam kelmarin.
Mereka antara 33 lelaki termasuk seorang warga asing yang ditahan sepaskan polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (IPD SPS).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 27 tahun itu dikesan menunggang motosikal di laluan kereta, kira-kira pukul 3 pagi.
Menurutnya, kesemua penunggang terbabit kemudiannya berpatah balik dan melawan arus ke arah Batu Maung sekali gus membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
“Hasil tindakan pantas pasukan operasi, masing-masing berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPS untuk siasatan lanjut.
“Selain itu, sebanyak 51 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sni, hari ini.
Tambahnya, JSPT Bukit Aman dan Pulau Pinang serta pihak PLUS turut menjalankan operasi bersepadu motosikal zon utara di daerah Seberang Perai Tengah.
“Sepanjang operasi, sebanyak 110 motosikal dan 74 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu video berdurasi enam saat yang memaparkan sekumpulan pelesit rempit dipercayai sedang berlumba haram di Jambatan Kedua dengan masing-masing menunjukkan pelbagai aksi bahaya termasuk ‘Superman’.
Video tersebut telah dirakam seorang penunggang motosikal ketika melalui jambatan berkenaan sebelum tular di media sosial sejak semalam. – KOSMO! ONLINE














