PETALING JAYA – Kes-kes di Mahkamah Syariah yang sering lewat dan mengalami banyak penangguhan bukan semata-mata kerana kelemahan sistem, sebaliknya turut berpunca daripada sikap segelintir suami yang berniat untuk terus menzalimi pasangan masing-masing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sebahagian besar penangguhan kes berlaku apabila suami sengaja tidak hadir ke mahkamah walaupun telah menerima saman yang diserahkan mengikut prosedur.
“Ada suami yang menggunakan proses mahkamah untuk meneruskan dendam dan penderaan terhadap isteri. Mereka sengaja tidak hadir pada tarikh sebutan kes kerana tahu tindakan itu akan menyebabkan penangguhan.
“Bila mahkamah tetapkan tarikh, contohnya 23 Oktober, suami tak hadir. Ditangguhkan ke 20 November. Pada 20 November, masih tak hadir.
“Ditangguh lagi ke Disember. Ada kes berlarutan sampai tahun berikutnya hanya kerana pihak suami sengaja tidak datang,” katanya dalam video dimuat naik di akaun Facebooknya.
Mohd. Na’im menegaskan bahawa tindakan memberikan tekanan secara psikologi melalui kelewatan proses perceraian, tuntutan nafkah, atau hak jagaan anak adalah satu bentuk kezaliman yang ditegah dalam Islam.
Beliau turut mengingatkan bahawa Islam mengajar perceraian dilakukan secara baik dan adil, bukan dengan dendam atau permusuhan.
“Allah SWT mengajar supaya jika bercerai, bercerailah dengan cara yang makruf. Tapi apa yang kita lihat, ramai pasangan khususnya suami bawa rasa marah dan dendam ke mahkamah lalu menggunakan proses ini untuk terus menyakiti pasangan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im turut menegaskan bahawa Mahkamah Syariah sebenarnya mempunyai kuasa penuh untuk bertindak apabila pihak yang disaman sengaja tidak hadir.
“Jangan anggap mahkamah tak boleh buat apa-apa. Ada peruntukan undang-undang membenarkan tindakan diambil. Di bawah Seksyen 51, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap terhadap suami yang sengaja tidak hadir,” katanya.
Selain itu, di bawah Seksyen 121 Tatacara Mal, mahkamah juga boleh meneruskan perbicaraan sebelah pihak sekiranya terbukti saman telah diterima tetapi pihak berkenaan tetap tidak hadir.
“Jika saman dah disahkan diterima dan suami tetap tak datang, isteri boleh mohon supaya kes dibicarakan tanpa kehadiran suami. Mahkamah boleh teruskan panggil saksi-saksi dan membuat keputusan.
“Sebab itu saya ajar masyarakat supaya ada ilmu. Bila kita tahu peruntukan undang-undang, kita boleh bertindak dan tidak terus terperangkap dalam penangguhan yang disengajakan,” katanya.
Dr. Mohd. Na’im sekali lagi menegaskan bahawa institusi kehakiman tidak boleh dijadikan medan untuk menyambung penderaan dalam rumah tangga.
“Jangan sesekali menggunakan sistem mahkamah untuk meneruskan penderaan, dendam atau kezaliman terhadap pasangan,” tegasnya.- KOSMO! ONLINE















