SHAH ALAM – Selangor FC akan memfailkan rayuan terhadap hukuman denda sebanyak RM100,000 dan beraksi tanpa penyokong yang dikenakan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Hukuman itu susulan insiden membabitkan penyokong pada Piala FA menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium MBPJ, 29 Oktober lalu.
Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, beliau secara peribadi beranggapan hukuman itu agak keras dan bersifat sedikit keterlaluan.
“Saya telah rujuk dengan pihak pengurusan Selangor FC dan mereka akan mengumumkan rayuan kepada pihak FAM berhubung hukuman itu. Kita harap ada pertimbangan sewajarnya.
“Pada masa kita (kerajaan negeri) juga telah meminta pengurusan kelab untuk melihat semula kepada hukuman ini nanti dan sekiranya ada wujud mungkin dakwaan-dakwaan yang kurang tepat harus dibantah,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Menurutnya, rayuan berhubung denda itu akan dilakukan SFC selain akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu dalam masa terdekat.
Mohd. Najwan dalam masa sama menasihatkan penyokong atau penonton mempunyai disiplin dan menjaga keharmonian semasa berada di dalam stadium.
Tambahnya, ini kerana setiap tindakan mereka boleh merisikokan kepada sesebuah kelab.
“Cuma kadang-kadang itulah ada penyokong mungkin mereka bertindak di luar batasan mengikut emosi dan ini seharusnya dielakkan.
“Jadi, kita perlu sentiasa beringat bahawa ini bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh. Disiplin serta adab penyokong di stadium perlu dititikberatkan bagi memastikan setiap perjalanan perlawanan berlangsung dalam keadaan selamat,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Selangor FC bagai jatuh ditimpa tangga selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM menjatuhkan hukuman keras terhadap Selangor FC susulan insiden membabitkan penyokong pada Piala FA menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium MBPJ, 29 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, keputusan itu diambil selepas meneliti semua laporan dan bukti yang dikemukakan bagi memastikan integriti perlawanan dan keselamatan penyokong dipelihara. – KOSMO! ONLINE















