PETALING JAYA – Misi membawa pulang jemaah haji dikenali Hajah Asmah yang dirawat di sebuah hospital di Mekah bakal direalisasikan selepas kutipan Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Waqaf Malaysia mencapai sasaran dan ditutup serta-merta, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sumbangan rakyat Malaysia yang luar biasa dalam masa singkat membolehkan tabung itu mengumpulkan sebanyak RM372,222.66.
Katanya, bakinya akan ditanggung oleh agensi agama, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
“Alhamdulillah, dengan semangat ukhwah dan kebersamaan, kutipan Tabung Musa’adah telah mencapai jumlah yang diperlukan. Dengan itu, kutipan ditutup serta-merta pada pukul 11 pagi tadi.
“Saya mengarahkan TH untuk menguruskan segala proses berkaitan bagi membawa pulang Hajah Asmah secepat mungkin mengikut prosedur serta bekerjasama dengan pihak berkuasa dan Kedutaan Malaysia di Arab Saudi,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mohd. Na’im turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia, badan korporat, pertubuhan dan dermawan yang menyumbang.
“Kesatuan dan sifat ihsan rakyat Malaysia benar-benar mencerminkan semangat perpaduan Malaysia Madani,” katanya yang mendoakan agar penyumbang diberi ganjaran berlipat ganda dan dipermudahkan segala urusan.
Asmah Mansor, 71, merupakan jemaah terakhir musim haji 1446H yang masih berada di Saudi German Hospital di Mekah sejak 13 September lalu dan kini menunggu proses untuk dibawa pulang ke tanah air.
Asmah sebelum ini dilaporkan sedang bertarung nyawa akibat pneumonia dan perlu bergantung pada alat bantuan pernafasan. Difahamkan, Asmah sempat menyempurnakan ibadah haji sebelum keadaan kesihatannya merosot secara mendadak.- KOSMO! ONLINE















