fbpx
THAILAND kemungkinan meningkatkan had umur bersara. - Foto AFP

Penjawat awam Thailand mungkin bersara umur 65 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Ratusan ribu penjawat awam di Thailand mungkin perlu bekerja tambahan lima tahun sebelum layak menerima pencen, lapor laman  berita Thai PBS World semalam.

Kerajaan mempertimbangkan untuk melanjutkan usia persaraan kakitangan awam daripada 60 tahun sekarang kepada 65 tahun dengan alasan menangani kekurangan tenaga kerja yang didorong oleh kadar kelahiran rendah di Thailand.

Ketika ini, kira-kira 1.7 juta rakyat Thailand berkhidmat dalam sektor awam dan ramai antara mereka semakin menghampiri usia 60 tahun.

Bagaimanapun, cadangan kerajaan itu menerima reaksi berbeza.

Sebahagian penyokong berkata, penggunaan kepakaran penjawat awam yang lebih berusia dan berpengalaman akan memberi manfaat kepada negara dan mengurangkan beban bajet kerajaan.

Namun, sebilangan pengkritik memberi amaran bahawa langkah itu jika dilaksanakan, boleh menafikan peluang pekerjaan untuk golongan muda.

Timbalan Perdana Menteri, Borwornsak Uwanno berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dengan kerjasama Ketua Jabatan Kawal Selia Kewangan termasuk Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan masih mengkaji cadangan tersebut.

“Perdana menteri berharap untuk menyelesaikan isu ini dalam tempoh pentadbiran kerajaan sekarang,” katanya.

Ia bermakna kajian tersebut perlu disiapkan dalam tempoh satu atau dua bulan akan datang, kerana Perdana Menteri Anutin Charnvirakul berikrar akan membubarkan Parlimen menjelang 31 Januari 2026.

Lanjutan usia persaraan itu akan memberi kesan kepada ratusan ribu penjawat awam, kecuali polis. 

Beberapa agensi kerajaan sudah pun membenarkan pegawai untuk terus berkhidmat selepas usia 60 tahun jika mereka memenuhi syarat tertentu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI