fbpx
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melihat jersi yang dipakai atlet negara selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian Penajaan antara MSN dan syarikat barangan sukan tempatan, Corporate Hero Century Sdn Bhd (Pace) di Bukit Jalil, semalam. - Ihsan MSN

Pemain BAM, Pro bakal jalani latihan bersama demi emas Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa pemain badminton profesional dan pemain di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berada dalam program Road to Gold (RTG) menjalani sesi ‘sparring’ bersama demi memburu kilauan emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Hannah mengakui ketika ini Malaysia memiliki pemain terbaik dalam RTG seperti pemain dalam skuad BAM, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, beregu lelaki No. 5 dunia, Man Wei Chong–Tee Kai Wun, beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan–M. Thinaah, serta beregu campuran No. 4 dunia, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei.

Sementara itu, pemain profesional yang turut berada dalam RTG ialah beregu lelaki No. 4 dunia Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani dan beregu campuran No. 9 dunia Goh Soon Huat–Shevon Lai.

Hannah berkata, perbincangan telah dimulakan antara Sekretariat RTG dan BAM untuk mewujudkan suasana latihan lebih tersusun agar pemain terbaik negara sama ada profesional atau BAM dapat berlatih di gelanggang yang sama.

“Apa yang saya mahu RTG lakukan seterusnya dan Datuk Stuart Ramalingam sudah pun memulakan perbincangan, ialah memastikan atlet profesional dan atlet BAM mempunyai masa sparring bersama.

“Jika mereka tidak sparring bersama, saya rasa tahap permainan mereka akan berkurang. Jadi kami telah meminta supaya sesi latihan bersama diwujudkan untuk atlet profesional dan BAM.

“Harapan saya, seperti sebelum Paris, kita meluluskan rakan sparring untuk atlet RTG, tetapi sebenarnya rakan sparring sudah ada dalam negara. 

“RTG kini sedang menyediakan ekosistem itu dan sedang berbincang dengan BAM untuk memastikan ada gelanggang khas untuk tujuan ini,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara syarikat barangan sukan tempatan, Corporate Hero Century Sdn Bhd (Pace) di Bukit Jalil, hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan timbul masalah tajaan atau kelengkapan kerana pemain profesional dan BAM memakai jenama berbeza, Hannah berkata isu itu tidak lagi relevan.

“Ini hanya sesi latihan RTG. Dulu memang ada isu, tetapi sekarang sudah berbeza,” tegasnya.

Program sparring bersama dijangka bermula seawal tahun depan, bergantung kepada jadual pertandingan pemain yang kini padat dengan siri kejohanan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI