fbpx
Pelancong China ke Pulau Pinang mencatat peningkatan tertinggi dari Januari hingga September tahun ini. Foto oleh DANIAL SAAD / KOSMO!

Pelancong China ke P. Pinang lonjak 520.2 peratus, luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Ketibaan pelancong China ke Pulau Pinang mencatat rekod luar biasa apabila melonjak sebanyak 520.2 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2025 berbanding tempoh sama pada tahun 2023.

Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, jumlah tersebut menjadikan pelancong dari China mencatat peningkatan tertinggi dalam senarai pelancong antarabangsa yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

“Lonjakan ini menjadikan China sebagai pasaran kedua terbesar ke Pulau Pinang selepas Indonesia, berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia yang menunjukkan ketibaan meningkat daripada 26,056 pada 2023 kepada 161,599 pada 2025.
“Selain China, beberapa pasaran lain turut menunjukkan peningkatan ketibaan yang ketara seperti India (245.1 peratus), Thailand (49.6 peratus), United Kingdom (44.2 peratus) dan Jepun (41.4 peratus),” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Hon Wai (PH-Paya Terubong) menjawab soalan Ong Ah Teong (PH-Batu Lanchang) mengenai 10 negara teratas bagi ketibaan pelancong antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bagi tahun 2025.

Dalam pada itu, Hon Wai berkata, kerajaan negeri juga turut meneroka pasaran Asia Barat melalui kerjasama Penang Global Tourism (PGT) dengan syarikat penerbangan dan agensi pelancongan dari Arab Saudi, UAE, Qatar dan Oman serta penyertaan dalam Arabian Travel Market (ATM) di Dubai.

“PGT juga memperkukuh promosi digital untuk pasaran Asia Barat dengan mengetengahkan penginapan mesra Muslim, makanan halal, kemudahan mesra keluarga serta pelancongan kesihatan bertaraf antarabangsa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN