KUALA LUMPUR – Beberapa remaja lelaki berusia 13 tahun antara ditahan dalam Operasi Satria Jalanan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur yang dijalankan di sekitar Taman Koperasi Polis Fasa 1 dan 2, di sini, semalam.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi berfokus itu digerakkan selepas risikan selama dua minggu mendapati kawasan tersebut menjadi lokasi tumpuan penunggang motosikal.
Katanya, ia termasuk golongan remaja melakukan aksi berbahaya seperti superman, wheelie, tunggangan zig-zag serta perlumbaan haram di kawasan berkenaan.
“Risikan kami sudah dijalankan selama dua minggu sebelum ini di kawasan berkenaan.
Hari ni (semalam) baru kami lakukan operasi.
“Ada diantara mereka berusia 13 tahun. Seorang remaja ini orang yang sama (menunggang motosikal di kawasan berkenaan), setiap minggu akan ada di situ, jadi dia kena (tahan) pada hari ini (semalam),” katanya pada sidang akhbar berhubung operasi berkenaan, malam tadi.
Menurut Hamidi, operasi yang dijalankan bermula pukul 5.30 petang hingga 7.30 malam itu melibatkan 39 anggota JPJ dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.
Jelasnya, pada operasi tersebut sebanyak 277 motosikal diperiksa dan 65 daripadanya dikenakan tindakan manakala 546 kesalahan direkodkan.
“Antara yang paling membimbangkan ialah 53 penunggang dan pembonceng bawah umur, ia melibatkan individu bawah 14 tahun seramai 16 individu manakala bawah 16 tahun (37).
“Majoriti mereka tidak mempunyai sebarang lesen,” ujarnya.
Selain itu, katanya, sebanyak 90 motosikal dikesan tiada cukai jalan, tiada insurans atau tidak mematuhi spesifikasi kenderaan, manakala 42 lagi diubah suai secara ekstrem.
“Pihak kami mengesan sebanyak 16 motosikal tanpa nombor pendaftaran, kesalahan tayar (13), brek (15), lampu tidak berfungsi (21), tiada cermin sisi (14) dan kesalahan lain termasuk tidak memakai topi keledar (75),” katanya.
Beliau menjelaskan, tindakan saman dikeluarkan kepada pemilik motosikal, termasuk ibu bapa atau penjaga remaja yang ditahan.
“Kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), pemilik kenderaan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara enam bulan.
“Motosikal hanya boleh dituntut semula selepas saman diselesaikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE















