PETALING JAYA – Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan tidak berpakaian dan tangan terikat berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, K. Kaarthiek, 26, dan A. Hariprasanth, 23, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha. Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka bersama-sama didakwa membunuh mangsa, Saraswathy Chan Chee Keong, 24, di sebuah jalan berhampiran Bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan pukul 6.18 petang, 24 Oktober hingga 2.17 pagi, 25 Oktober.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca Bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun.
Jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 sebatan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Leong Hui. Peguam Sivahnanthan Ragava mewakili Kaarthiek, manakala peguam Kailash Sharma mewakili Hariprasanth.
Mahkamah menetapkan 16 Januari 2026 untuk sebutan kes bagi laporan kimia dan forensik.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 25 hingga 30 tahun susulan penemuan mayat seorang wanita yang tidak berpakaian dan tangan terikat berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan. – KOSMO! ONLINE















