KUALA LUMPUR – Setiap edisi peganjuran Sukan SEA hadir dengan cabaran tersendiri dan temasya ke-33 yang berlangsung di Thailand bulan depan tidak terkecuali apabila penganjuran dibuat di tiga wilayah berbeza iaitu di Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
Keadaan itu menuntut persiapan rapi kontinjen negara terutama mengatur soal logistik, apatah lagi Malaysia bakal membawa kontinjen terbesar dengan 1,100 atlet menyertai temasya dwitahunan tersebut.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, keputusan menggunakan laluan darat dari Malaysia hanya melibatkan atlet yang bertanding di Songkhla, selepas perbincangan mendalam bersama persatuan sukan.
Katanya, MSN dan pihak persatuan bersetuju bahawa perjalanan darat lebih efisien kerana lokasinya yang dekat dengan sempadan negara.
“Kami telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan persatuan sukan dan pengurusan kontinjen. Antara isu utama adalah masa perjalanan dan keperluan rehat lebih panjang.
“Songkhla berhampiran sempadan, jadi kami berbincang dengan konsulat Malaysia di Thailand, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan imigresen untuk melancarkan pergerakan kontinjen.
“Dengan perjalanan darat, atlet akan bermalam di UUM sebelum bergerak ke Songkhla keesokan hari dalam keadaan lebih segar berbanding laluan biasa yang mengambil masa lebih panjang,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan antara MSN dan syarikat barangan sukan tempatan, Corporate Hero Century Sdn. Bhd. (PACE) di MSN Bukit Jalil, hari ini.
Menurut Jefri, perjalanan dari Kuala Lumpur ke UUM mengambil kira-kira enam jam, manakala perjalanan dari sempadan ke Songkhla hanya satu jam setengah, sekali gus memberi ruang rehat yang lebih berkualiti.
“Atlet akan bergerak tiga hari lebih awal, berbanding dua hari sebelum seperti kebiasaan,” ujarnya.
Beliau berkata, pergerakan atlet dibuat secara berperingkat mengikut jadual pertandingan masing-masing dengan kerjasama konsulat Malaysia di Thailand serta pihak imigresen bagi memastikan urusan keluar masuk berjalan lancar.
Antara sukan yang dipertandingkan di Songkhla ialah catur, judo, karate, muay thai, pencak silat, gusti, wushu, bola sepak dan futsal. -KOSMO! ONLINE















