KUALA LUMPUR – Seorang pekerja lelaki warga asing yang sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dikhuatiri lemas, selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (AKLEH), petang tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.40 petang.
“Ketika itu terdapat pekerja penambahbaikan Sungai Klang di bahagian bawah. Apabila kepala air sampai, mereka semua tidak sempat menyelamatkan diri.
“Daripada 13 pekerja di tempat kejadian, 12 individu berjaya diselamatkan iaitu tujuh warga Indonesia, empat warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan.
“Seorang lelaki warga India dipercayai masih hilang sehingga kini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Setakat ini, difahamkan, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan bagi mengesan mangsa. – KOSMO! ONLINE















