SUNGAI BULOH – Sebanyak dua buah lot kilang perabot musnah dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Jalan Baru Sungai Buloh petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.48 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh bergegas ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi pada pukul 5.59 petang, kebakaran melibatkan dua lot kilang perabot kelas B berkeluasan 200×60 kaki persegi keseluruhan.
“Pemeriksaan mendapati lot pertama terbakar 80 peratus manakala lot kedua terbakar 20 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan dengan kekuatan 29 anggota dari enam balai iaitu BBP Sungai Buloh, Bukit Jelutong, Damansara, Rawang dan Subang Jaya.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.44 petang dan kerja-kerja pemadaman serta pemeriksaan sedang diteruskan.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE















