fbpx
Gambar hiasan

Jumlah banduan 84,000 melebihi kapasiti maksimum penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa jumlah banduan dalam penjara di seluruh negara ketika ini melebihi kapasiti maksimum 76,311 iaitu lebih 84,000 banduan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, seramai 84,143 kini berada dalam penjara dan 6,640 lagi banduan di luar penjara yang sedang menjalani pemulihan dalam komuniti.

“Berlaku kesesakan dan lebihan sebanyak 7,872 orang daripada keseluruhan kapasiti. Pendekatan yang menyeluruh dan berstrategi sedang dilaksanakan bagi menangani kesesakan penjara,” katanya ketika menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai langkah kerajaan untuk menangani kesesakan penjara akibat kesalahan dadah pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata, penubuhan Pusat Koreksional Chenderiang, Tapah antara langkah mengasingkan pesalah jenayah dadah yang disabitkan di bawah Seksyen 15(1) dan Seksysn 39C Akta Dadah Berbahaya (1952).

Menurut beliau, pengasingan itu bagi membolehkan rawatan dan program pemulihan yang lebih fokus dan berpusat serta mempersiapkan banduan menyertai pemulihan dalam komuniti.

Tambah beliau, inisiatif pemulihan turut dipeluaskan menerusi pelaksanaan sistem parol dan pembebasan banduan secara berlesen.

Jelasnya, program itu memberi peluang kepada banduan yang layak menjalani proses pemulihan di luar penjara dalam persekitaraan yang terkawal dan dipantau.

Kata beliau, hala tuju penjara adalah dua pertiga banduan yang layak akan mengikuti program pemulihan komuniti.

“Ini secara langsung mengurangkan tekanan kapasiti penjara serta menyokong proses integrasi semula ke dalam masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI