BEIRUT – Sebuah kereta kebal Israel membedil Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL), kata misi pengaman itu semalam sambil menggelar insiden tersebut pelanggaran serius Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701, lapor laman berita TRT World.
UNIFIL berkata, peluru mesingan berat kereta kebal Israel mengenai kawasan kira-kira 5 meter dari kenderaan UNIFIL yang meronda berhampiran kedudukan tentera Tel Aviv di dalam wilayah Lubnan.
Pasukan pengaman UNIFIL terpaksa berlindung, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Menurut UNIFIL, pihaknya segera menghubungi Rejim Zionis melalui saluran komunikasi untuk menuntut tembakan dihentikan.
UNIFIL mengutuk insiden tersebut sambil menggesa Israel menghentikan tingkah laku agresif dan serangan ke atas atau berhampiran pasukan pengaman PBB yang cuba memulihkan kestabilan di sepanjang sempadan.
Di bawah Resolusi 1701 yang diguna pakai selepas perang Israel-Hizbollah 2006, kedua-dua pihak dikehendaki menghentikan permusuhan dan mengekalkan zon bebas senjata di antara Garisan Biru dan Sungai Litani di Lubnan.
Insiden itu berlaku ketika ketegangan di selatan Lubnan semakin memuncak, dengan Israel meningkatkan serangan hampir setiap hari dengan alasan menyasarkan kedudukan Hizbollah.
Serangan Rejim Zionis yang bermula pada Oktober 2023 dan diperluaskan pada September 2024 telah membunuh lebih 4,000 orang dan mencederakan hampir 17,000 yang lain, demikian menurut pihak berkuasa Lubnan.
Gencatan senjata yang diumumkan pada November 2024 mewajibkan Israel berundur dari selatan Lubnan menjelang Januari lepas, tetapi cuma sebahagian tenteranya berundur. Tel Aviv, malah terus menduduki lima pos kawalan sempadan di wilayah Lubnan. – AGENSI















