JOHOR BAHRU – Tindakan 111 individu termasuk 31 remaja bawah umur menggunakan kad pengenalan orang lain untuk bekerja mengundang padah apabila mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan di sebuah kilang kotak di Taman Teknologi Johor, Senai di sini hari ini.
Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Mohammad Khairu Farhan Md Saad berkata, Ops Kotak tersebut dijalankan selama tiga jam bermula pukul 3 petang hasil maklumat awam selepas risikan selama beberapa bulan.
“Secara keseluruhan 233 pekerja warga tempatan dan asing antaranya dari Filipina dan Indonesia termasuk staf kilang diperiksa. Daripada jumlah pemeriksaan itu seramai 86 pekerja warganegara asing ditahan.
“Ini melibatkan 19 lelaki dan 67 wanita dewasa manakala 31 lagi adalah remaja bawah umur melibatkan 16 remaja lelaki dan 15 remaja perempuan yang majoritinya adalah warga tempatan dengan paling muda berusia 14 tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi itu hari ini.
Mohammad Khairu berkata, siasatan mendapati remaja bawah umur tersebut ada yang masih bersekolah dan sudah tidak bersekolah lagi, mereka bekerja separuh masa.
Jelasnya, remaja terbabit ditahan kerana menggunakan kad pengenalan orang lain iaitu adik-beradik atau saudara mereka semasa meminta kerja bagi mengaburi mata pihak pengurusan kilang.
Manakala, bagi pekerja asing terbabit didapati menggunakan kad pengenalan palsu dan juga kad pengenalan orang lain yang dipercayai diperoleh daripada ejen mereka di negara masing-masing.
Beliau percaya, itu merupakan modus operandi pekerja asing dan pekerja bawah umur itu untuk mendapatkan kerja dengan
menggunakan kad pengenalan orang lain atau kad pengenalan palsu.
“Sementara pemeriksaan terhadap staf kilang terbabit pula melibatkan 32 lelaki dan 49 wanita tetapi tiada yang ditahan,” katanya.
Mohammad Khairu memberitahu, semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut bawah Peraturan 25(1)(E) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Pihaknya akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi proses pendakwaan dan juga remaja tersebut bagi tindakan lanjut.-KOSMO! ONLINE















